MENGELAK TINDAKAN UNDANG-UNDANG
Dulu-dulu saya ingat kalau tak ada kerja, kita tak boleh dapatkan pinjaman. Tetapi hari ini, berapa ramai graduan mempunyai hutang yang banyak sehingga RM50,000, malah ada yang mencecah RM100,000 sebaik saja tamat pengajian.
Kita harus ingat, hutang bukan percuma. Ianya perlu dibayar balik dan yang lebih malang, anda kena membayar lebih daripada jumlah yang anda pinjam disebabkan faedah (interest) yang dikenakan.
Punca utama orang berhutang adalah kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk memenuhi keperluan asas dan memenuhi pelbagai impian seperti memiliki rumah, kereta dan perkakas rumah.
Tidak ada salahnya untuk anda mendapatkan apa sahaja yang anda inginkan, asalkan anda mempunyai kemampuan. Begitu juga tidak salah untuk berhutang kalau kena dengan caranya.
Realitinya, bukan orang yang berpendapatan kecil yang terperangkap dalam gejala hutang, tetapi orang yang dianggap sebagai berduit pun terjebak sama. Hari ini kita tidak lagi hairan bila ada orang muda yang diistiharkan muflis (bankrupt). Ini adalah kerana ianya tidak menjadi isu terpencil dalam masyarakat disebabkan ramainya golongan muda yang terjebak dalam masalah hutang.
Adalah penting untuk kita menyedari bahawa apabila seseorang itu diishtiharkan bankrap, banyak hak-hak istimewa yang selama ini dimiliki akan ditarik. Contohnya, pasport anda akan ditahan oleh pihak imigresen, tak boleh ke luar negara, tak boleh buka akaun baru di bank, tak boleh buat pinjaman baru dan sebagainya.
Tidak salah untuk berhutang, tetapi biarkan untuk tujuan yang produktif. Contohnya, pinjaman untuk membeli rumah sewa. Jika sewa yang anda kutip lebih tinggi daripada ansuran pinjaman yang dibayar, ianya tidak akan menjejaskan kewangan anda. Sebaliknya, jika rumah yang anda beli hanya akan menambahkan perbelanjaan anda tanpa memberikan sebarang pendapatan, ia sudah pasti akan memberi kesan yang negatif kepada kewangan anda.
Lain-lain contoh hutang atau pinjaman tak produktif adalah hutang kereta, hutang membeli perkakas/hiasan rumah dan hutang kad kredit yang tidak terkawal. Dengan adanya sistem pengurusan kewangan yang baik, anda boleh mengelakkan daripada terjebak ke dalam perangkap hutang dan kalau anda sudah terjebak, anda tahu bagaimana nak keluar dari perangkap tersebut.
Satu lagi cara adalah dengan menjadikan diri anda sebagai bank anda. Sebagai contoh, jika anda mempunyai simpanan atau dana kecemasan yang mencukupi, anda sebenarnya tidak perlu berhutang dengan bank, kad kredit atau siapa sahaja apabila anda berhadapan dengan masalah kewangan.
Apa yang perlu anda lakukan adalah untuk anda meminjam daripada dari anda sendiri. Ini sudah pasti adalah pilihan terbaik kerana anda boleh mendapatkannya dengan mudah, cepat, kurang kerenah, tak perlu bayar faedah, tiada birokrasi, dan anda lah yang akan membuat keputusan untuk diri anda sendiri.
Yang penting adalah, anda perlu mempunyai disiplin yang tinggi untuk memastikan anda membayar balik pinjaman yang anda ambil dalam tempoh yang anda sendiri tentukan, agar jumlah simpanan anda dapat dikekalkan dan seterusnya dapat ditingkatkan.