MEREBUT PELUANG
Zaman saya bekerja dulu saya mempunyai staf dari berbagai kaum termasuk Melayu dan Cina. Saya ada seorang staf Melayu (Si M) dan seorang staf Cina (Si C) yang masuk bekerja pada masa yang sama.
Mereka mempunyai persamaan dari segi kelayakan, gaji, pangkat, dan senioriti. Bezanya Si C ini rajin beli saham dan belajar part-time. Selang beberapa tahun tiba masanya untuk kedua-dua staf ini ditimbangkan bagi kenaikan pangkat.
Kedua-duanya mempunyai senioriti dan pengalaman yang sama, tetapi Si C ini mempunyai kelebihan kerana mempunyai kelayakan tambahan hasil dari usaha tambahannya. Akhirnya Si C terpilih untuk kenaikan pangkat kerana mendapat skor yang lebih tinggi dalam penilaian prestasi berbanding dengan Si M.
Cerita ini tiada kaitannnya dengan isu perkauman. Apa yang boleh dipelajari dari cerita ini adalah Si C mempuyai disiplin kewangan yang baik yang membolehkannya mempunyai wang untuk melabur dalam pelajaran dan juga saham. Dengan melabur dia sering melancong keluar negara sambil belajar melalui pengalaman orang lain. Dan dengan terus belajar beliau dapat meningkatkan ilmu dan kemahiran yang boleh digunakan untuk meningkatkan kepakarannya dan juga pendapatnya. Sebaliknya Si M hanya bekerja, tak pernah pernah melancong, tak melabur, tak ada kelayakan tambahan dan yang lebih teruk selalu mengeluh kerana tak ada duit.
Dalam sejarah, banyak kita lihat ramai orang yang mendapat keuntungan besar dalam pelaburan saham bukan kerana ia pakar saham. Begitu juga halnya dalam bidang hartanah, ramai yang memperolehi keuntungan besar dalam pelaburan haratanah bukanlah terdiri dari mereka yang pakar dalam bidang tersebut. Sebaliknya orang yang dianggap pakar dalam bidang tersebut mengalami kerugian yang teruk disebabkan tamak dan tak dapat mengawal diri.
Persoalannya, macam mana orang yang bukan mempunyai kepakaran dalam bidang saham boleh dapat keuntungan besar. Kajian menunjukkan orang mudah terpengaruh dengan apa yang orang lain buat. Bila orang ramai beli saham, dia pun nak beli saham. Akhirnya ramai orang beli saham ketika harganya tinggi. Bila harga saham jatuh, ramai yang tak nak jual takut rugi kerana menjangka harga akan naik balik. Jadi mereka terus pegang saham yang telah dibeli pada harga tinggi.
Seterusnya bila harga makin jatuh mereka berhasrat nak beli tetapi tak dapat melakukannya kerana dah kehabisan modal. Sebaliknya orang mempunyai wang simpanan melihatnya sebagai satu peluang yang untuk melabur kerana harganya sangat murah. Bila pasaran saham mula pulih, walaupun belum sepenuhnya, dengan mudah ia dapat keuntungan dengan menjualnya. Orang-orang sebegini biasanya tidak aktif memasuki pasaran. Ia hanya masuk sekali sekala bila nampak peluang disebabkan ia mempunyai modal untuk merebut peluang tersebut.
Begitu juga halnya dalam bidang hartanah, ramai orang mendapat keuntungan besar kerana membelinya pada harga yang rendah (bargained price) ketika ekonomi mengalami penguncupan atau kemelesetan. Pada masa ini ramai pemilik hartanah ingin melepaskan peganganya kerana desakan hidup, masalah hutang, masalah perniagaan atau masalah keluarga. Mereka yang mempunyai dana yang besar melihat situasi ini sebagai satu peluang yang tidak harus dilepaskan.
Disinilah pentingnya anda mempunyai sistem pengurusan kewangan yang baik yang membolehkan anda mengumpulkan dana yang mencukupi yang boleh digunakan untuk merebut peluang-peluang yang mendatang, yang mungkin hanya datang sekali dalam seumur hidup. Tanpa mempunyai dana atau wang, anda hanya mampu untuk melihat peluang-peluang yang datang berlalu begitu sahaja.