PENGURUSAN RISIKO
Setiap orang tanpa terkecuali adalah terdedah kepada satu atau lebih risiko. Orang yang kaya boleh jatuh miskin, orang yang kuat boleh jadi lemah, orang yang melabur boleh rugi, orang yang sihat boleh sakit, orang yang memandu boleh kemalangan, dan orang yang hidup boleh mati. Risiko mungkin tidak boleh dihapuskan sepenuhnya tetapi boleh diuruskan untuk mengurangkan atau menghindarkan kesan atau impaknya. Semua orang tahu mati itu pasti, tetapi apakah persiapan yang kita lakukan untuk menghadapinya khususnya orang-orang tersayang yang ditinggalkan.
Fakta menunjukkan banyaknya kes–kes keluarga yang dulunya hidup mewah tiba-tiba berubah menjadi miskin akibat orang tempat mereka bergantung sakit, cacat, atau meninggal dunia dengan mengejut disebabkan oleh kemalangan atau sebagainya. Semuanya ini adalah bentuk-bentuk risiko yang anda mungkin berdepan dengannya.
Selain dari itu, umur yang terlalu panjang juga merupakan satu risiko kerana jika anda tidak mempunyai simpanan yang mencukupi selepas persaraan, anda mungkin akan menghadapi masalah kewangan yang serius.
Dalam pengurusan risikio, pembelian insuran bukanlah satu kemestian. Kalau anda tidak mempunyai hutang dan mempunyai wang simpanan yang mencukupi untuk menghadapi sebarang kemungkinan, anda sebenarnya telah mempunyai insuran sendiri (self-insuring).
Oleh itu, pengurusan risiko adalah satu aspek penting dalam pengurusan kewangan yang tak sepatutnya diabaikan. Berapa ramai hari ini kita lihat pesakit tidak mampu membayar bil perubatan kerana tidak mempunyai insuran perubatan. Berapa ramai yang terpaksa berhutang kerana nak beli makan asas keluarga atau menghantar anak ke universiti.
Cuba bayangkan jika anda mati mengejut, bagaimanakah agaknya isteri dan anak-anak anda akan meneruskan kehidupan jika anda tidak menyediakan mereka dengan wang secukupnya bagi mendapatkan segala keperluan mereka.
Bolehkah anda boleh mengaku sebagai seorang yang bertanggung jawab, ayah contoh, suami contoh atau anak soleh, jika disebabkan kegagalan anda mengurus kewangan keluarga dengan baik keluarga anda menanggung akibatnya.